Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Lumapas 'B'
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 Jun. - Ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas 'B', Biro Wanita serta beberapa orang penduduk Kampung Lumapas 'B' telah mengadakan lawatan ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) bagi meninjau pameran khas dan melihat dengan lebih dekat Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang dipamerkan kepada orang ramai.
Rombongan tersebut diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas 'B'.
Tumpuan utama lawatan berkenaan untuk mengambil peluang dan menyaksikan secara lebih dekat Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang dibukakan selama tiga hari di BKISHHB, di sini.
Sepanjang lawatan, para peserta berpeluang mengikuti penerangan mengenai sejarah dan kepentingan artifak yang dipamerkan di BKISHHB, khususnya berkaitan Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjadi antara koleksi paling berharga dan istimewa di negara ini.
Lawatan tersebut bertujuan memberikan pendedahan serta pendekatan yang lebih mendalam kepada para peserta mengenai nilai sejarah, warisan Islam dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada rombongan untuk menghayati serta menzahirkan rasa syukur atas peluang menyaksikan sendiri peninggalan yang mempunyai nilai spiritual dan sejarah yang tinggi.
Para peserta melahirkan rasa teruja dan bersyukur kerana berpeluang mengikuti lawatan tersebut, yang disifatkan sebagai pengalaman bermakna dalam memperkukuhkan kefahaman serta penghayatan terhadap sejarah dan warisan Islam.